Pernah jatuh cinta dengan orang yang hatinya sudah berpunya?
Saya pernah. Lebih sekali. Saya percaya
ramai di luar sana juga pernah. Normal bagi mereka yang tidak pernah,
untuk menganggap golongan yang pernah ini sebagai gatal, atau sengaja, atau mencari fasal.
Biasa untuk kita berkata itu ini sebelum merasai. Manusia prejudis pada
apa yang mereka tidak tahu dan skeptikal pada apa yang mereka tidak
faham. Ini kelaziman kita semua. Jangan kecil hati.
Gatal, sengaja, atau mencari fasal
– saya tidak akan mengiya atau menidakkan mana-mana. Boleh jadi
tiga-tiga. Boleh jadi salah satu. Boleh jadi bukan langsung. Jangan
yakin melaung “kejinya, aku takkan buat begitu.” Perjalanan hidup bukan
semuanya dalam tangan kita untuk menentu.
Pada saya, mereka yang melalui
pengalaman ini adalah golongan yang terlalu idealis (yang perlu
direalistikkan), agak lemah (yang perlu dikuatkan), dan yang paling
penting, terpilih oleh Allah untuk dihempapkan dengan ujian ‘daya
tahan’.
Kalau jatuh cinta dengan orang yang
hatinya sudah berpunya itu dosa, kenapa Allah menghalalkan poligami?
Fikir. Yang bikin dosa adalah perbuatan, bukan sangat perasaan.
Saya berani kata begini sebab saya banyak dosa.
Tapi itu cerita lain. Ini cerita kita-kita.
Selama hampir 24 tahun saya bernafas,
mengutip pengalaman dari hidup sendiri, mengutip cerita dari hidup
ratusan orang di sekeliling, saya semakin sedar, bahawa jatuh cinta
adalah jatuh cinta.
Jatuh cinta setelah tahu dia sudah berpunya.
Jatuh cinta sebelum tahu dia sudah berpunya.
Jatuh cinta namun berpisah kerana hatinya diambil orang lain.
Jatuh cinta, berpisah, dia mula hidup baru dengan teman baru, namun kita masih terus menerus mencinta.
Jatuh cinta sebelum tahu dia sudah berpunya.
Jatuh cinta namun berpisah kerana hatinya diambil orang lain.
Jatuh cinta, berpisah, dia mula hidup baru dengan teman baru, namun kita masih terus menerus mencinta.
Jatuh cinta adalah jatuh cinta. Titik.
Sakitnya mengetahui bahawa orang yang
kita kasih itu mengasihi orang lain, atau terikat dengan orang lain,
adalah sakit yang luar biasa. Bilamana dia itu suami/isteri orang,
tunangan orang, atau kekasih orang, kita serta-merta mengarah hati kita
supaya berhenti. Jangan sayang lagi. Tak boleh!
Hati tanya kenapa?
Kita jawab tak boleh.
Hati tanya kenapa?
Kita jawab tak boleh!
Setakat “tak boleh”, lut ke?
Biasanya kalau ada rasa benci, akan
lebih mudah untuk awak berhenti mengasihi. Kalau dia itu jahat orangnya,
banyak buat salah, layan awak seperti sampah, adalah juga modal untuk
membenci. Masalahnya dia baik (kalau jahat kenapa pula awak hendak jatuh
cinta, betul?), dan dia tidak buat salah, dan dia tidak layan awak
seperti sampah. Jadi modal untuk membenci tidak ada. Satu-satunya modal
untuk berhenti ialah kekuatan diri awak sendiri. Iman. Nekad. Dua
perkara itu paling payah hendak timbul bila sudah bertembung dengan hati
yang sarat dengan nafsu hendak mencinta dan dicintai. (Dan orang gila
mana yang tidak mahu mencinta dan dicintai?)
Hati dengan otak, manalah duduk sebelah-menyebelah.
Apa yang saya buat dahulu untuk
memboloskan diri dari keadaan ini ialah, saya berserah. Bukan berserah
sekadar di mulut, tapi betul-betul berserah. Tahun demi tahun, saya
semakin sedar bahawa manusia bukan kepunyaan manusia. Pasangan kekasih
bukan dimiliki satu sama lain. Pasangan tunangan bukan dimiliki satu
sama lain. Suami isteri juga, bukan seratus-peratus dimiliki satu sama
lain. Lelaki yang saya jatuh cinta itu bukan barang runcit, yang saya
boleh curi-curi ambil dari troli orang lain. Kalau pun dia dengan saya,
satu hari dia boleh pergi ke orang lain. Kalau pun dia dengan
kekasihnya, satu hari dia tetap boleh pergi ke orang lain. Dia ada otak,
ada hati, ada kaki; dia boleh ke mana-mana sesuka hati. Setiap manusia
ada hak dan daya untuk memilih. Jadi apa makna “pemilikan”? Apa maksud
“kepunyaan”? Wujudkah “pemilikan” dan “kepunyaan” sesama manusia? Siapa
yang benar-benar memegang otak, hati, kaki, seluruh anggota manusia
tadi? Siapa yang ada kuasa total untuk mengawal semua ini?
Kawan saya kata, “tempat asal cinta ada satu je.”
Saya percaya, kita jumpa jodoh kita
kalau kita mula mencinta dengan mencintai Allah. Saya bukan orang yang
paling baik. Saya cuma tukang redha. Tukang berserah. Tukang sujud.
Tukang tadah. Dan semua ini paling ketara bila saya paling susah. Saya
memang bukan orang yang paling baik.
Cuma dalam situasi sebegini, saya ambil
langkah pertama dengan berhenti berfikir, “Aku nak dia. Aku nak dia. Aku
nak dia.” Sebaliknya saya mula berfikir, “Terpulanglah, Allah. Apa saja
yang Kau rasa baik untuk aku. Terpulanglah. Buatlah.” Redha dan
berserah pada mulut adalah sangat-sangat berbeza dengan redha dan
berserah pada hati. Hanya bila ia terjadi pada hati, akan awak tahu bezanya. Percayalah cakap saya; subhanallah sangat-sangat besar bezanya.
Saya percaya jodoh itu misteri. Letaknya
di tangan Allah, bukan manusia. Jangan biar manusia lain menetapkan
definisi jodoh bagi kita. Jodoh itu bukan mesti jatuh cinta dengan orang
bujang. Atau lelaki berkopiah. Atau wanita yang tidak pernah berbuat
salah. Menjadi isteri kedua adalah jodoh. Menjadi isteri pada cikgu awak
adalah jodoh. Berkahwin dengan office boy tempat awak bekerja
adalah jodoh. Berkahwin dengan musuh awak zaman belajar dulu adalah
jodoh. Berkahwin dengan janda adalah jodoh. Berkahwin dengan lelaki yang
lebih muda adalah jodoh. Berkahwin dengan duda anak tiga adalah jodoh.
Berkahwin dengan orang yang asalnya bukan Islam juga tetap jodoh. Kerana
jodoh itu bubuhnya di tangan Maha Pencipta, jadi ia boleh datang dalam
macam-macam rupa.
Kalau kita betul-betul hendak tahu apa akhir cerita cinta kita,
kita kena berbalik pada tempat asal cinta itu.
kita kena berbalik pada tempat asal cinta itu.
Dan seperti kawan saya kata,
tempatnya cuma ada satu.
tempatnya cuma ada satu.
-inspirasi daripada wani ardy-

